Tatkala semua pasukan Liga Super menanti tetingkap perpindahan kedua yang bakal dibuka bulan hadapan untuk memperkuat pasukan, satu pasukan dijangka tidak boleh berbuat demikian. Ini selepas sebuah pasukan dari Pantai Timur bakal dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini selepas ejen bola sepak tempatan, Joe Berbatov mengarahkan peguamnya melaporkan salah laku kelab berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM. Hal ini turut dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Dah minta peguam panjangkan ke JK (Jawatankuasa) Tatatertib FAM. Kebal sungguh pasukan ini. Cakap b*** pun terbang. Kita tengok sekebal mana team ni. Dah panjangkan ke JK Tatatertib. Kita nilai tengok,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, pasukan tersebut bakal mengikut jejak langkah beberapa pasukan yang pernah dikenakan sekatan perpindahan sama. Perak pernah dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA pada awal tahun 2022 susulan menanggung tunggakan gaji berjumlah RM1.7 juta.
Manakala Sarawak United pula dikenakan sekatan tiga tetingkap perpindahan oleh badan induk bola sepak antarabangsa itu pada musim lepas susulan kegagalan pasukan melangsaikan masalah kewangan mereka termasuk tunggakan gaji.