Sekolah Sukan Tewaskan Ubi Muda Kedah

SSTMI FA Malaysia Sekolah Sukan Tewaskan Ubi Muda Kedah
FA Malaysia
Azim Noor @mohdazim45
7:17pm 14/08/2023

Aksi suku akhir pertama Piala Belia 2023 menyaksikan kejutan dilakar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail apabila mereka menewaskan Kedah Darul Aman D 1-0 di Padang Sintetik SSTMI Bandar Penawar.

Walaupun berstatus pasukan bukan pilihan, itu langsung tidak menggugat keyakinan anak-anak buah Ahmad Yasser Arafat Mohd Najib.

Malah, mereka terlebih dahulu membuka jaringan pada babak pertama menerusi Muhammad Harith Danish Raimidzian pada minit ke-31. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, ubi muda Sang Kenari berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 terus dipertahankan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail sehingga tamat perlawanan.

Bekalan gol tipis diharap dapat membantu pasukan yang berpangkalan di Bandar Penawar, Kota Tinggi itu untuk mara ke pentas separuh akhir.

Bagaimanapun, bagi jurulatih Kedah Darul Aman D, Muhammad Taufiq Abdullah, dengan aksi kedua pada 19 Ogos ini, peluang masih terbuka buat anak-anak buahnya layak ke separuh akhir.