Selamat Datang Ke UM-Damansara, Wan Kuzri
MakanBola
FAMalaysiaofficial

Wan Kuzri sah menyertai UM-Damansara United secara pinjaman dari Negeri Sembilan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

Sebelum ini, Wan Kuzri dikhabarkan bakal menyertai The Jangs bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini namun telah membuat haluan berbeza dengan menyertai pasukan dari Liga A1 Semi-Pro iaitu UM-Damansara United secara pinjaman dari Negeri Sembilan.

Wan Kuzri, yang sebelum ini beraksi bersama University of Akron di Amerika Syarikat, dikenal pasti sebagai pemain muda berbakat dengan gaya permainan kreatif dan berdaya saing tinggi.

Kepulangannya ke tanah air bukan sahaja akan mengukuhkan barisan tengah pasukan yang disertainya, malah memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan bakat beliau berkembang di peringkat profesional.

Menurut ketua jurulatih UM-Damansara United, Ridzuan Abu Shah, Wan Kuzri telah sah bersama kelab beliau dan sudah mempunyai perancangan hebat untuk pemain tersebut.

“Satu sahaja yang ingin saya sampaikan; selamat datang ke UM-Damansara, Wan Kuzri. Pihak pengurusan akan mengumumkan ketibaan beliau secara rasmi selepas proses pinjaman dari Negeri Sembilan dimuktamadkan.”

“Wan Kuzri merupakan seorang pemain muda yang berkualiti dan berbakat, dan saya sudah mempunyai perancangan serta posisi khusus untuknya,” kata Ketua Jurulatih UM-Damansara United, Ridzuan Abu Shah, ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Wan Kuzri dijangka membuat penampilan sulung bersama UM-Damansara United pada 23 Januari depan menentang pasukan Terengganu dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.