Selangor FC bakal menjanjikan pengalaman digital berbeza buat para penyokong untuk kempen mereka pada musim 2024.
Perkara ini akan tercapai menerusi jalinan kerjasama antara The Red Giants dengan syarikat digital Citadel Group Technologies yang dimeterai semalam.
Menerusi kerjasama ini, pengalaman digital penyokong akan ditambahbaik bersesuaian dengan status mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar Merah Kuning.
Pengalaman itu termasuk pembelian produk dan perkhidmatan dalam talian hinggalah hantaran berita terbaru mengenai The Red Giants.
Menurut CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, visi ini dilihat mampu dicapai menerusi kerjasama dengan Citadel Group Technologies.
“Kerjasama dengan Citadel Group Technologies melangkaui kerjasama teknologi konventional. Ia satu langkah besar dalam membentuk hubungan baru dengan penyokong.
“Apabila kita menerima era digital ini, penyokong kita akan menikmati satu pengalaman berbeza dan lancar daripada pembelian produk dan perkhidmatan dalam telian hinggalah sentiasa menerima berita terkini tentang pasukan.
“Citadel Group Technologies berkongsi visi sama dengan kita dan kita bersama-sama menetapkan standard baru dari segi perhubungan dengan penyokong dalam bola sepak,” katanya seperti dipetik laman sesawang rasmi kelab.
Majlis pemeteraian kerjasama ini turut disaksikan pengerusi pasukan, DYAM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin.