Selangor FC memasang hasrat untuk menyambut kontrak pemain sayap kebangsaan, Muhammad Faisal Halim.
Perkara ini diutarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Datuk Johan Kamal Hamidon selepas majlis tandatangan perjanjian persefahaman antara Selangor FC dan Citadel Group Technologies di Pusat Latihan Selangor, hari ini.
Menurut laporan daripada wartawan Astro Arena Fateen Shazwani, pihak pengurusan Selangor FC sedang dalam rundingan untuk melanjutkan kontrak Faisal Halim bersama Selangor FC.
Biarpun baru-baru ini timbul beberapa spekulasi di platform media sosial yang mengaitkan pemain ini ke kelab lain, Faisal ketika ini masih lagi bergelar seorang pemain Selangor.
Untuk rekod, pemain asal Pulau Pinang ini menyertai Selangor pada Disember 2022 dan Selangor merupakan kelab keempat dalam kariernya di Liga Malaysia. Sebelum ini, Faisal pernah menjadi tonggak kepada pasukan Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.
Bersama Selangor FC musim ini, Faisal telah melakukan 25 penampilan dalam kesemua kejohanan bagi tahun 2023. Jantung serangan The Red Giants ini sudah berjaya meledak sebanyak 12 gol dan mencatat 8 bantuan jaringan bersama pasukan.
Khidmat tonggak berusia 25 tahun ini pastinya akan terus ditagih Selangor untuk musim seterusnya. Prestasi memukau yang ditampilkan sayap lincah ini dilihat cukup memperkuat skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Pasukan Selangor bakal melayan kunjungan pasukan Perak untuk aksi Liga Super pada esok di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Aksi ini penting buat skuad Merah Kuning dalam usaha meraih tiga mata maksimum bagi memastikan Selangor menamatkan kempen Liga Super 2023 di tempat kedua sekaligus mengesahkan slot ke pentas Piala AFC musim hadapan.