Sejak beberapa hari lepas, arena bola sepak Malaysia kecoh apabila Faisal Halim dikatakan diintai oleh dua kelab K-League 1 iaitu Suwon Samsung Bluewings dan Incheon United. Tetapi bagi jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, beliau merasakan Merah Kuning masih memerlukan khidmat pemain sayap Harimau Malaya itu.
Ini kerana setakat pengetahuan beliau, Faisal belum menerima sebarang tawaran perpindahan daripada dua kelab yang dinyatakan. Kenyataan Cheng Hoe ini sekaligus menafikan khabar angin Selangor sedang berunding dengan kelab-kelab yang berminat mendapatkan khidmat bekas pemain sayap Terengganu itu.
Pada masa sama, beliau turut memuji cara Faisal mengendalikan khabar angin tersebut. Ini diharap dapat diterjemah dalam bentuk persembahan yang konsisten dan bagus bila turun menentang Kedah malam ini.
“Setakat ini, saya sebagai jurulatih belum menerima apa-apa tawaran dari mana-mana kelab untuk membawa Mickey (nama gelaran Faisal) ke pasukan tersebut. Tetapi bagi saya, saya rasa Mickey pandai kendali situasi tersebut dan kita perlukan dia untuk (tunjukkan) persembahan dalam setiap perlawanan.
“Saya masih lagi dahagakan prestasi beliau dalam pasukan. Yang penting ialah kita bagi dia sokongan kerana kita mempunyai perlawanan yang cukup penting pada malam esok (malam ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi untuk Nadi Bola semalam.
Malam ini bakal menyaksikan pertembungan Selangor dan Kedah di Stadium MBPJ. Dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Merah Kuning mengharapkan bisa barisan serangan diketuai Faisal mampu menundukkan anak-anak buah Nafuzi Zain.