Artikel ini telah dikemas kini dengan isi kandungan baru kerana terdapat kesilapan fakta.
Pasukan Selangor berjaya mencatat satu rekod baharu selepas The Red Giants berjaya menewaskan pasukan Kelantan dengan keputusan 11-2 di Stadium Sultan Muhammad IV tempoh hari.
Selangor menjadi kelab pertama Malaysia yang berjaya menjaringkan lebih daripada 10 gol dalam satu perlawanan Liga Super.
Kekalahan Kelantan di tangan Selangor baru-baru ini juga menyaksikan rekod bolos terbesar ketiga telah dicatat pasukan Kelantan.
Pada 14 Ogos lalu, Kelantan telah tewas 0-8 kepada Terengganu dalam aksi saingan Liga Super dan mereka sekali lagi tewas 0-10 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim.
Selangor kini dalam misi ke pentas Piala AFC musim depan namun perlu menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua untuk meraih slot automatik ke Asia. Anak buah kendalian Tan Cheng Hoe kini menghuni tangga kedua liga dengan 49 mata diraih selepas 22 perlawanan.
Perlawanan seterusnya menyaksikan Selangor bakal bertemu Terengganu di suku akhir Piala Malaysia 2023. Aksi tersebut dijadualkan berlangsung pada 16 September 2023.