Selangor Tagih Sokongan Padu Peminat Hadapi KL City
MakanBola
Selangor FC

Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon berharap penyokong pasukan itu dapat hadir beramai-ramai ke Stadium MBPJ menjelang aksi terbaru liga menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Pan-gon melihat kehadiran penyokong bukan saja dapat memberi suntikan moral kepada barisan anak buahnya. Malah, kehadiran mereka bakal menambah kemeriahan aksi membabitkan dua pasukan Lembah Klang itu.

“Ia satu perlawanan bersejarah, perlawanan setempat dan perlawanan yang cukup penting. Saya fikir para penyokong juga mahukan kita menjaga maruah (menjelang aksi menentang KL City). Kita tidak boleh kalah, kita kena menang. Kita kena menang perlawanan ini untuk mengekalkan maruah kita.

“Jadi, saya fikir untuk perlawanan ini, kita perlukan semua orang datan guntuk memberi sokongan dan tunjukkan kepada KL bahawa kita bukan saja cukup kuat untuk menunjukkan prestasi kita. Tetapi pada masa sama, penyokong juga mahu hadir dan menunjukkan kepada mereka warna merah untuk membuatkan mereka takut.

“Justeru, mereka tidak boleh dibenarkan (mencuri mata) kerana mereka pesaing kita. Jadi, kita kena pastikan kita mendominasi dan mengawal permainan. Jadi, saya fikir kita akan berikan persembahan terbaik untuk memenangi perlawanan itu,” katanya.

Kehadiran penyokong Selangor cukup bermakna selepas terpaksa mengharungi aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Sabah FC tanpa penonton baru-baru ini.

Selangor berharap dapat melebarkan rentak kemenangan bila bertemu KL City pada 12 September ini.