Pemain tengah kebangsaan, Nooa Laine melihat masih ada ruang buat Selangor FC menjadi lebih baik untuk baki kempen musim 2024/25.
Merah Kuning mengesahkan kemaraan ke final MFL Challenge Cup apabila menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua pada 2 Februari lalu.
Gol Alvin Fortes memastikan Selangor mara dengan keputusan agregat 2-0. Selain itu, Merah Kuning turut mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan semua kejohanan.
Meskipun begitu, Nooa mahu Selangor terus berusaha memperbaiki prestasi mereka. Ini bagi memastikan pasukan itu dapat menamatkan musim dengan baik.
“Sudah tentu anda tidak boleh berpuas hati. Saya fikir kita boleh menjadi lebih baik, kita perlu menunjukkan lebih banyak peningkatan,” katanya.
“Jika anda lihat perlawanan hari ini (aksi menentang Penang), kita masih gembira mendapat kemenangan dan kita berada di final.”
Selangor bakal menentang juara bertahan, PDRM FC di pentas final MFL Challenge Cup. PDRM mara selepas menyingkirkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerusi penentuan sepakan penalti.
Aksi final pertama bakal berlangsung pada 15 Februari di Stadium MBPJ. Ini disusuli aksi final kedua di Stadium Selayang pada 22 Februari.