“Semangat Saya Belum Pudar” – Qayyum Marjoni
MakanBola
PKNS FC

Bekas pemain Kelantan, Qayyum Marjoni masih belum berputus asa untuk mendapatkan pasukan baharu.

Hal ini dinyatakan beliau menerusi satu hantaran di Threads. Qayyum berharap masih diberi peluang beraksi oleh pasukan-pasukan lain meskipun kini berstatus ejen bebas sejak Julai 2025.

Pemilik nama Muhammad Qayyum Marjoni Sabil itu percaya beliau masih mampu menabur bakti di atas padang jika diberi peluang berbuat demikian.

“Tolong lah bagi peluang untuk buktikan bahawasa saya dapat main lagi. Bukan pergi itu cakap sesi percubaan tapi lepas itu awak smua sudah ada pilihan sendiri.

“Habis itu, buat apa datang jauh semata-mata untuk dengar awak cakap macam itu. Tolonglah mana-mana pasukan bagi peluang untuk saya.

“Kemahiran saya hanya ada pada kaki Itu saja yang saya tahu buat, semangat saya belum pudar lagi. Saya masih mahu buang kudrat tenaga saya atas padang,” katanya.

Selepas hantaran itu dimuat naik, bekas penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil mendoakan semoga urusan Qayyum dipermudahkan.

Beberapa peminat di ruang komen turut berkongsi poster sesi percubaan beberapa pasukan seperti AAK Unisel dan Selangor Champions League (SCL).

Qayyum pernah mewakili PKNS FC (kemudiannya Selangor FC II), Kelantan, PIB, Kelantan Darul Naim FC (kini Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), PT Athletic, Harimau Muda dan Kuching City FC.