Kylian Mbappe menjadi nama terbaru yang menyinari saingan La Liga musim 2024/25. Meskipun begitu, beliau bukan penerima gaji termahal dalam liga utama Sepanyol itu.
Mbappe sah menyertai Real Madrid apabila diperkenalkan kepada 80,000 penyokong di Bernabeu pada 16 Julai lalu. Penyerang Perancis berusia 25 tahun itu menyertai Los Blancos dengan kontrak sehingga 2009.
Meskipun bakal menjadi penerima gaji tertinggi dalam kalangan pemain Real Madrid, Mbappe bukan penerima gaji termahal dalam saingan La Liga.
Ini kerana menurut laporan The Sun, peneraju gaji tertinggi La Liga dipegang jeneral tengah Barcelona dari Belanda, Frenkie de Jong. De Jong menerima gaji sekitar £31.6 juta (RM190 juta) semusim.
Sementara peledak berbisa Poland, Robert Lewandowski menduduki tempat kedua dengan pendapatan sekitar £28.2 juta (RM170 juta). Mbappe di tempat ketiga dengan pendapatan sekitar £26.3 juta (RM158 juta).
Meskipun gajinya tidak setinggi gaji yang diterima dua tonggak Barca itu, bekas penyerang Paris Saint-Germain itu berpotensi menambah lagi pendapatan yang diterimanya di Bernabeu.
Ini kerana Mbappe menerima yuran penyertaan sebanyak £85.6 juta (RM516 juta) selepas bersetuju berpindah ke Real Madrid secara percuma dari PSG. Selain itu, pendapatan yang diterima menerusi hak imejnya dijangka lebih lumayan.
Ini kerana sebahagian daripada persetujuan yang dicapai Mbappe dengan Los Blancos ialah 80% bayaran hak imejnya dibayar kepada beliau. Sementara baki 20% lagi diterima pengurusan Real Madrid.
Tuntutan ini sekaligus memecahkan amalan perkongsian 50% yang diterima Los Blancos dan pemain setiap kali imej mereka digunakan untuk tujuan komersial.
Isu gaji Mbappe dilihat bukan satu isu buat pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti. Ini kerana kehadiran bintang Perancis itu memberinya satu dilema yang menarik tentang jentera serangan pasukan itu untuk musim 2024/25.