Sentuhan Magis Mukhairi Ajmal Pacu Gergasi Merah Kuning
MakanBola
Selangor FC

Sentuhan magis pemain Selangor FC, Mukhairi Ajmal terus menjadi nadi kepada kecemerlangan pasukan Merah Kuning dalam dua aksi terakhir pasukan untuk saingan liga. 

Pemain berusia 20 tahun ini menjadi sebahagian daripada watak penting dalam kemenangan Selangor keatas pasukan Penang pada aksi Liga Super semalam. Hantaran-hantaran bermutu Mukhairi sedikit sebanyak telah membuka peluang buat rakan sepasukannya mencipta jaringan.

Mukhairi juga dilihat selesa diberikan peranan bermain di bahagian sayap kiri membentuk gandingan sempurna bersama Herlison Caion. Banyak gerakan berbahaya serta percubaan dari luar kotak penalti yang menyukarkan pertahanan pasukan lawan. 

Karakter serta kerajinan yang dimiliki kapten skuad bawah 23 tahun negara ini turut dilihat apabila beliau kerap kali turun memberi bantuan tambahan ketika bertahan.

Setakat 10 perlawanan Selangor FC dalam saingan Liga Super 2022, Mukhairi telah turun dalam kesemua aksi sebagai kesebelasan utama pasukan. Khidmat pemain kelahiran Sungai Lembing, Pahang ini terus menjadi taruhan Michael Feichtenbeiner tatkala menjadi pemacu kepada serangan pasukan Merah Kuning. 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan laman Transfermarkt.com, Mukhairi telah diturunkan sebagai pemain tengah dalam tujuh perlawanan sementara tiga kali diturunkan sebagai pemain sayap kiri. Untuk rekod, setakat ini beliau telah berjaya mencatat satu gol dan dua bantuan jaringan bersama Selangor pada musim ini.