Peminat bola sepak negara teruja apabila seorang lagi pemain berdarah Malaysia dikesan beraksi dalam saingan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).
Nama pemain tengah Stevenage, Harvey White menjadi fokus penyokong Harimau Malaya kerana dilaporkan memiliki darah warisan Malaysia menerusi neneknya.
Maklumat ini dikongsikan laman peninjau bakat warisan negara, FR Future Talents baru-baru ini. White, 23, menyertai kelab League One itu secara perpindahan tetap dari Tottenham Hotspur pada September 2023.
“Harvey White memiliki darah warisan Malaysia menerusi neneknya yang dilahirkan di Malaysia. Hubungan ini boleh menjadikan beliau mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata laman itu dalam satu hantaran di Instagram.
Anak jati Maidstone itu bukan saja mampu beraksi di bahagian tengah. Malah, White juga bersedia beraksi di posisi bek kiri jika diperlukan oleh pengurus Stevenage, Alex Revell.
Sejak menyertai Boro pada September 2023, White sudah merekodkan 39 penampilan, tiga gol dan enam bantuan gol.
Semakan terbaru nilainya dalam pasaran perpindahan oleh Transfermarkt menyaksikan beliau kini bernilai €300,000 (RM1.4 juta).
White menyertai senarai beberapa pemain berdarah warisan Malaysia yang beraksi dalam saingan EFL. Antara pemain tersebut ialah Josh Brownhill, Zian Flemming, Milan van Ewijk dan Harvey Knibbs.