Bek tengah veteran Sepanyol, Sergio Ramos berpotensi menjadi pemilik baharu Sevilla.
Portal Football Espana melaporkan nama Ramos dicanang sebagai individu berminat membantu kelab LaLiga itu sebagai pemilik pasukan.
Sebelum Ramos muncul, sebuah konsortium pelaburan dari Amerika Syarikat berminat menjadi pemilik baharu Los Rojiblancos.
Walau bagaimanapun, usaha tersebut gagal apabila tawaran pembelian saham yang dikemukakan konsortium itu kepada pemegang saham dianggap terlalu rendah.
Ini membuka ruang buat sebuah konsortium pelaburan lain diketuai Ramos untuk masuk dan membuat tawaran menarik kepada pemegang saham.
Tawaran yang dikemukakan dikatakan paling tinggi setakat ini. Selain itu, pemilihan Ramos sebagai wajah awam konsortium berkenaan turut menambat hati pemegang saham Sevilla.
Sekiranya semua proses berjalan lancar, bekas kapten Real Madrid itu bakal mengikut jejak dua bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo dan Luka Modric.
Meskipun masih aktif bermain, Ronaldo menerima tawaran menjadi sebahagian daripada pemegang saham Al-Nassr.
Modric pula memiliki saham minoriti untuk kelab Liga Kejohanan, Swansea City walaupun kini mewakili AC Milan.
Ramos kini berstatus ejen bebas dan belum ingin bersara selepas meninggalkan kelab Mexico, Monterrey.