Meskipun telah kembali bertugas, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj. Rahman dikenakan dua hukuman berat oleh badan induk itu.
Hukuman tersebut ialah tiada kenaikan gaji selama dua tahun. dan prestasinya dipantau barisan Exco FAM dalam tempoh enam bulan.
Hukuman ini didedahkan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi apabila diminta mengulas tentang Noor Azman.
“Ada hukuman buat Datuk Azman iaitu tiada kenaikan gaji selama dua tahun dan prestasinya akan dinilai oleh exco dalam tempoh enam bulan,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Sebelum ini, Noor Azman digantung FAM susulan skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara.
Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) kemudiannya mengesyorkan beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan selanjutnya.
Susulan itu, Jawatankuasa Tatatertib FAM memaklumkan Noor Azman hanya didapati terkait dengan kecuaian pentadbiran.
Beliau juga didapati tidak bersalah atau terlibat dalam sebarang unsur pemalsuan dokumen, seperti yang didakwa sebelum ini.