Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menasihati kelab-kelab Liga Super agar mendapatkan pemain import mengikut kemampuan kewangan mereka.
Sebelum ini, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pasukan-pasukan Liga Super boleh mendapatkan 15 pemain import.
Komposisi untuk skuad pada hari perlawanan pula ialah 7+2 (simpanan). Ia terdiri daripada empat pemain import kategori terbuka, satu pemain import kuota Asia dan dua pemain import kuota ASEAN.
Shahril menyifatkan perubahan ini sebagai sesuatu yang baik kepada Selangor. Ini kerana ini memberi lebih banyak pilihan kepada pasukan itu dalam menghadapi kejohanan-kejohanan musim 2025/26.
Pada masa sama, Shahril turut mengingatkan kelab-kelab agar berbelanja mengikut kemampuan mereka. Ini termasuk aspek mendapatkan pemain import untuk musim hadapan.
“Untuk Selangor FC, sudah tentu kami mengalu-alukan perubahan ini tetapi tidak semestinya kita nak menggunakan kesemuanya kuota itu sebab kita perlu lihat bajet dan kualiti pemain.
“Tetapi perubahan dan langkah ini adalah baik terutamanya untuk Selangor dan juga JDT sebab dua pasukan ini akan beraksi di ACL dan kelab AFF, jadi ia akan beri kelebihan kepada kita untuk ada pilihan pemain yang lebih banyak.
“Namun kalau tanya saya untuk pasukan lain, sekiranya mampu, boleh untuk daftarkan 15 import, tapi kalau tidak mampu, janganlah. Kami pun masih lagi menilai, mungkin akan sama seperti musim lepas (12 import) atau tidak bergantung kepada keperluan,” katanya.
Selangor kini sibuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim 2025/26. Antara pemain yang dilaporkan akan menyertai Merah Kuning ialah pemain sayap Venezuela, Juanpi.