Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Shahril Mokhtar tidak berminat merebut jawatan Presiden FAM.
Kerusi panas itu menjadi tumpuan peminat bola sepak Malaysia selepas penyandang, Tan Sri Hamidin Mohd Amin memilih untuk tidak mempertahankan jawatan beliau.
Susulan itu, beberapa figura terkemuka dicanang bakal merebut jawatan tersebut dalam Kongres FAM Ke-61 yang bakal berlangsung pada 15 Februari ini.
Antara nama yang dicanang ialah Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, Sayf Ismail dan Shahril.
Apabila hal ini diajukan kepada beliau, Shahril dengan tegas menolak desas-desus berkenaan. Ini kerana pada hematnya, jawatan Presiden FAM bersifat sepenuh masa dan memerlukan komitmen tinggi.
“Saya takkan rebut jawatan Presiden (FAM). Sebab jawatan Presiden itu bersifat sepenuh masa. Saya tiada minta pun,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Kalau ada pencalonan (untuk) yang (jawatan) lain, kalau rasa ada ahli gabungan yang percayakan saya, saya akan pertimbang, itu saja. Tapi untuk jawatan Presiden, tidak.”
Shahril kini fokus kepada peranannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC selepas meninggalkan FAM pada Jun 2024.