Advertisements
Sharul Nazeem Hargai Pengalaman Bersama Skuad Kebangsaan
Harimau Malaya
MakanBola
Azri/ Makanbola

Pertahanan tengah Selangor FC, Sharul Nazeem sentiasa menghargai pengalaman ketika dipanggil ke skuad kebangsaan dan berharap ianya dapat membantu meningkatkan prestasinya bersama Selangor untuk musim 2024/2025.

Biarpun berjaya membantu Selangor menadapatkan slot beraksi di pentas Asia, bagi Sharul, beliau masih belum berpuas hati dengan apa yang dicapai dan berharap tahun 2024 akan jadi lebih baik buat dirinya sebagai seorang pemain pertahanan.

“Saya tak puas hati dengan apa yang saya ada setiap tahun. Saya perlukan dalam setahun yang akan datang ini perkara yang lebih baik. Saya nak tambah baik diri saya, saya nak jadi pertahanan yang lebih bagus. Saya harap tahun ini yang terbaiklah untuk saya.

“Kalau saya dapat kekalkan prestasi saya dan jadi lebih baik, Insya Allah saya akan beri yang terbaik kepada Selangor. Apa yang Selangor terapkan, apa yang sudah diberitahu untuk latihan semua, saya akan terapkan. Jadi, saya harap saya dapat beraksi dengan lebih baik pada tahun ini untuk musim yang akan datang.

“Bagi saya, belum berjaya lagi. Macam saya cakap, saya perlu bagi lebih lagi. Tak puas hati dengan prestasi (dan) apa yang saya ada sekarang. Saya perlukan persembahan yang lebih baik lagi.

“Dalam pasukan kebangsaan itu, main (atau) tak main, itu masih satu pengalaman buat saya. Apa yang saya dapat untuk skuad kebangsaan, saya akan terapkan untuk Selangor juga. Jadi, pada saya (berada) di situ merupakan satu pengalaman buat saya,” luah Sharul Nazeem dalam sesi sidang media kerjasama Selangor dan Daikin di Sungai Buloh.

Sharul yang mesra digelar Afro merupakan salah seorang pemain yang terlepas peluang beraksi di pentas Piala Asia 2023 Qatar selepas mengalami kecederaan. Kini, beliau sedang memberikan fokus untuk pulih semula dan kembali mendapatkan momentum prestasi beliau.

“Macam saya beritahu, saya sebelum ini cedera. Saya buat pemulihan bersama Selangor. Saya nak buat perlahan-lahan untuk dapatkan kembali momentum dan prestasi saya. Saya nak pulih daripada kecederaan yang saya alami,” jelas Sharul lagi mengakhiri temubual.

Untuk rekod, Sharul Nazeem telah beraksi sebanyak 25 perlawanan sepanjang musim 2023 dalam kesemua pertandingan. Beliau berjaya meledak tiga jaringan gol selain menyumbang satu bantuan gol buat Selangor.