Shin Tae-yong Sedih, Vietnam & Thailand Takut Dengan Indonesia

Shin tae yong 5 Shin Tae-yong Sedih, Vietnam & Thailand Takut Dengan Indonesia

Kegagalan pasukan Bawah 19 (B-19) Indonesia untuk layak ke pusingan kalah mati Piala AFF B-19 dicemari dengan aksi tidak profesional dan kurang semangat kesukanan yang ditampilkan Thailand dan Vietnam semalam.

Perlawanan diantara Vietnam dan Thailand itu berakhir dengan keputusan seri 1-1 sekaligus meranapkan hasrat skuad Indonesia yang juga merupakan tuan rumah untuk mara ke separuh akhir Piala AFF B-19.

Pengendali skuad B-19 Indonesia, Shin Tae-yong jelas kecewa dengan apa yang berlaku dalam perlawanan Thailand dan Vietnam itu sambil mengatakan kedua-dua pasukan itu semakin takut dengan Indonesia.

“Thailand dan Vietnam memang sepertinya mereka takut dengan Indonesia. Oleh sebab itu, saya sedikit tersinggung dan tidak gembira dengan situasi ini,” kata Shin Tae-yong.

“Ini bermakna Thailand dan Vietnam smerasakan bola sepak Indonesia makin baik. Hinggakan mereka beraksi seperti itu (beraksi untuk seri),” ucap Shin Tae-yong.

Thailand dan Vietnam dilihat langsung tidak melakukan serangan ke kubu lawan masing-masing untuk tempoh 15 minit terakhir perlawanan sekaligus melayakkan kedua-dua pasukan itu ke separuh akhir Piala AFF B-19.

Dalam masa yang sama, Shin Tae-yong merakamkan ucapan terima kasih kepada para pemainnya yang berusaha bermati-matian ketika turun beraksi dan menganggap penyingkiran seawal peringkat kumpulan ini tidak akan disesali sama sekali.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada para pemain yang sudah bekerja keras, semaksimum mungkin, dan menjadikan keputusan kejohanan ini tidak dikesali. Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih sekali lagi kepada para pemain saya,” ujar Shin Tae-yong kepada Bola.