‘Jika Ketum PSSI harus bertanggungjawab atas semua yang terjadi dan megundurkan diri, maka saya pun harus mengundurkan diri’
Berikut adalah kenyataan berani dikeluarkan oleh ketua jurulatih Timnas Indonesia, Shin Tae-yong susulan desakan bertali-arus daripada penyokong Indonesia yang mahu Mochamad Iriawan meletak jawatan sebagai Ketua Umum PSSI.
Hal ini ekoran kegagalan Ketum PSSI dalam mengurus tadbir Liga Bola Sepak Indonesia sehingga menyebabkan tragedi kanjuruhan yang meragut hampir 131 nyawa.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menyatakan bahawa beliau tetap akan menyokong Ketum PSSI dan mengakui Ketum PSSI banyak melakukan perubahan terhadap bola sepak Indonesia.
“Kerana saya fikir, jika ada kesalahan daripada rakan kerja yang bekerja dengan saya sebagai satu pasukan maka saya juga memiliki kesalahan yang sama.
“Seseorang yang sangat menyayangi bola sepak Indonesia dengan setulus hati dan memberikan sokongan penuh dari belakang agar bola sepak dapat berkembang dengan Ketua Umum PSSI.
Dalam pada itu, beliau yakin Ketum PSSI mampu menyelesaikan permasalahan ini dengan baik kerana sebelum ini, banyak pencapaian luar biasa yang telah dicapai dalam membangunkan bola sepak Indonesia.
“Saya dan rakyat Indonesia dapat bersama membangunkan bola sepak Indonesia selepas saya datang ke Indonesia pada 2020. Ini adalah pencapaian atau keputusan yang dibuat oleh pemain, peminat dan Ketua Umum PSSI yang memilih saya,” jelas jurulatih berusia 52 tahun itu.
“Malangnya semua tanggungjawab dialihkan kepada Ketua Umum. Dia telah membangunkan bola sepak Indonesia secara keseluruhan.
“Pasti dia juga boleh menangani situasi ini dengan baik. Saya juga akan berusaha lebih keras untuk menjadikan bola sepak Indonesia lebih maju.
Beliau dalam pada itu amat bersimpati dengan apa yang telah terjadi dan beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada seluruh mangsa yang terlibat.
“Sebagai penutup, sekali lagi Saya ingin menyatakan bahawa saya ingin memberikan sokongan penuh kepada mangsa, keluarga mereka dan semua rakyat Indonesia.” jelas Shin Tae-yong.