Advertisement
Singapura Tewaskan Skuad Muda Selangor
Asia Tenggara
MakanBola
FA Singapore

Hasrat skuad muda Selangor memulakan kempen Piala Lion City 2023 dengan kemenangan tidak kesampaian selepas tunduk 3-0 kepada Singapura di Stadium Jalan Besar hari ini.

Singapura menerusi skuad Pusat Pembangunan Nasional (NDC) B-15 tampak bersemangat ditambah dengan sokongan padu penyokong di Stadium Jalan Besar.

Dan anak-anak buah Angel Toledano Flores tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Nathan Mao pada minit keenam.

Nathan kemudiannya menggandakan kelebihan tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-37. Sepakan kencang Ucheanna Eziakor gagal ditangkap kemas penjaga gol Merah Kuning, Muhammad Zulfan Iqbal dengan bola muntah itu mudah ditolak masuk penyerang muda The Lions itu.

Bersambung pada babak kedua, Vincenzo Dozzel hampir merapatkan jurang untuk Selangor pada minit ke-49. Bagaimanapun, sepakannya melantun terkena palang sebelum dikeluarkan pertahanan tuan rumah.

Pemain gantian, Helmi Shahrol memastikan kemenangan Singapura menerusi satu rembatan kencang pada minit ke-77. Pemain pertahanan Merah Kuning, Darwish Haqeem memastikan gol saguhati buat anak-anak buah Mat Dinos Talib pada minit akhir babak kedua.

Kekalahan ini menyaksikan Selangor perlu berdepan skuad muda Borneo FC untuk penentuan tempat ketiga Piala Lion City 2023 pada Ahad ini.

Manakala The Lions bakal bersemuka dengan BG Pathum United di pentas final pada hari sama selepas skuad muda kelab Thailand itu menewaskan Borneo FC dalam satu lagi perlawanan hari ini.