Skuad Muda JDT Tewas Mengejut Kepada Negeri Sembilan

JDT FC III Negeri Sembilan FC Piala Presiden Johor Southern Tigers Skuad Muda JDT Tewas Mengejut Kepada Negeri Sembilan
Johor Southern Tigers
Azim Noor @mohdazim45
8:23pm 06/07/2023

Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) FC III memulakan kempen Kumpulan E Piala Presiden dengan langkah kanan terbantut hari ini. Ini selepas anak-anak buah Gonzalo Sanz Zaballos dikejutkan Negeri Sembilan FC 2-1 di Stadium Mini Tampin.

Biarpun beraksi sebagai pasukan pelawat, JDT FC III terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Muhammad Haiqal Khairuddin pada minit ketujuh.

Tersentak, tuan rumah yang dibimbing Azlan Ahmad bangkit memburu gol penyamaan dan hasilnya, dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Mohd Sarif Tahir. Pemain pertahanan Ashraf Iqwan Anuar mudah menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Hazriq Hakkim Mohd Izham pada minit ke-27.

Dengan separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1, separuh masa kedua menyaksikan aksi sengit JDT FC III dan Negeri Sembilan FC.

Tetapi skuad muda Rusa lebih bernasib baik apabila meraih gol kemenangan pada minit ke-91. Gol tersebut disumbang oleh penyerang, Danish Syamer Tajuddin.

Kemenangan ini meletakkan Negeri Sembilan FC di tangga kedua Kumpulan E di belakang pendahulu Perak FC III. Manakala JDT FC III pula di tangga ketujuh kumpulan.