Skuad Muda Negara Sasar Ke Piala Dunia

Skuad B 17 Malaysia FA Malaysia Skuad Muda Negara Sasar Ke Piala Dunia
FA Malaysia
Azim Noor @mohdazim45
8:00pm 26/03/2023

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melihat sasaran layak ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) sebagai satu sasaran yang realistik. Ini kerana FAM percaya dengan kemampuan anak-anak buah Osmera Omaro walaupun laluan berliku menanti mereka di Piala Asia B-17 yang akan berlangsung pada Jun ini.

Ketika ini, skuad B-17 negara sibuk mengadakan siri jelajah di beberapa buah negara seperti Qatar, Jepun dan Arab Saudi sebagai persiapan untuk kejohanan berkenaan. Hanya empat pasukan terbaik Piala Asia B-17 yang akan dipilih ke Piala Dunia B-17 pada November ini.

Keyakinan ini disuarakan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Ini kerana beliau percaya anak-anak buah Osmera mampu mencipta kejutan di kejohanan berkenaan.

“Peluang itu 50/50 tetapi kita kena kerja keras untuk layak ke Piala Dunia di Peru dengan menjadi empat pasukan terbaik di Bangkok nanti.

“Sasaran kita adalah untuk mendapatkan mata ataupun layak ke suku akhir. Itu pun sudah dianggap satu kejayaan tetapi lebih baik kalau kita layak ke separuh akhir dan final.

“Kita tidak pernah ke Piala Dunia untuk apa sahaja kategori usia. Tetapi suku akhir pun pencapaian yang baik kerana kita menjadi lapan terbaik di Asia,” katanya.

Pencapaian terbaik Harimau Malaya di Piala Asia B-17 ialah suku akhir pada 2014. Bagaimanapun, usaha mereka mara ke separuh akhir disekat oleh Australia di peringkat itu.

Piala Dunia B-17 2023 menampilkan 24 pasukan daripada enam konfederasi benua. Antara pasukan yang sudah layak ialah Peru selaku tuan rumah, Mexico, Amerika Syarikat, Kanada, Panama, New Caledonia dan New Zealand.