Liga A1

Skuad Muda Selangor Belasah Sabah

Selangor Sabah Piala Belia 2023 Selangor FC Skuad Muda Selangor Belasah Sabah
Selangor FC
Advertisements

Sebelum saingan Liga Super berehat bersempena Sukan SEA 2023, skuad senior Selangor tewas tipis 2-1 kepada Sabah di Stadium Likas. Hari ini, skuad remaja Merah Kuning menebus kehampaan skuad senior dengan membenam skuad muda Badak 4-0 dalam saingan Kumpulan C Piala Belia 2023.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Mini Persada Plus, Subang itu menyaksikan skuad yang dibimbing Mohd Khushairi Abd Wahab itu tampil garang pada babak pertama. Bagaimanapun, kesungguhan anak-anak buah Jelius Ating bertahan menyaksikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Red Giants tampil lebih garang. Dan hasilnya, Izzat Syahir Mohd Zulihsan membolosi gawang Badak yang dikawal Fekri Firdaus Sabtari pada minit ke-47.

Begitupun, Merah Kuning terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 untuk menambah jaringan kedua menerusi Ariz Zuhayr Nor Zaidi. Amirul Alif Abd Khalit dan Amir Ammar Ibrahim menambah derita skuad Badak dengan gol masing-masing pada minit ke-83 dan 91.

Keputusan 4-0 ini mengekalkan Selangor sebagai pendahulu Kumpulan C dengan enam mata selepas dua perlawanan. Manakala Sabah kekal tanpa sebarang mata di tangga tercorot kumpulan.