KL City FC Extension terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Piala MFL meskipun diikat tanpa jaringan oleh Terengganu FC II.
KL City Extension mahu terus mendaki liga selepas menewaskan Sabah FC II pada 23 Julai lalu. Manakala Terengganu II mahu kembali meraih kemenangan selepas kali terakhir melakukannya dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II pada 2 Julai lalu.
Separuh masa pertama menyaksikan Terengganu II berusaha menggugat kubu pertahanan KL City Extension menerusi Syahmi Zamri dan Aqil Idham Bahari.
Keadaan ini menyebabkan penjaga gol The City Boys dari New Zealand, Lawton Green terpaksa bekerja keras menafikan asakan tuan rumah.
KL City Extension yang dibimbing Nidzam Adzha Yusof berusaha menembusi gawang tuan rumah menerusi Abdul Afiq Hilman Abd Halim tetapi tidak berhasil.
Ketumpulan serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, KL City Extension membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat memecah kebuntuan perlawanan.
Malangnya, kubu pertahanan skuad muda Peteh yang dibimbing Hairuddin Omar itu sukar ditembusi oleh pelawat.
Hairuddin kemudiannya meningkatkan tekanan ke atas KL City Extension dengan memasukkan Danial Syafik Mohamad dan Khalaif Naskam sebagai pemain gantian.
Tekanan yang dikenakan tidak membuahkan hasil dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan KL City Extension memintas Sri Pahang FC di tangga ketiga dengan 13 mata. Sementara Terengganu II memintas Selangor FC di tangga kelima dengan 10 mata.