Skuad Sepak Takraw Thailand Berdepan Tindakan ISTAF
UltraSukan
TAT

Skuad sepak takraw Thailand berdepan tindakan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) susulan tindakan menarik diri dalam aksi final berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.

Aksi final acara itu berakhir dengan kontroversi apabila Thailand memilih untuk tidak meneruskan perlawanan regu ketiga. Ini kerana kem Thailand tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil Singapura, Mohammed Radhi Che Mei.

Keengganan Thailand menyaksikan skuad sepak takraw Malaysia yang dibimbing Ahmad Jais Baharom muncul juara dunia acara berpasukan.

Susulan itu, SNE Sports melaporkan Pemangku Presiden ISTAF, Boonchai Lorphiphat menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu kesalahan disiplin buat kem Thailand.

Ini disusuli dengan aduan yang dikemukakan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berhubung tindakan tiga pegawai kanan Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) yang masuk ke kawasan rasmi pasukan dalam aksi sama.

Kini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memaklumkan 12 pemain dan tiga pegawai pasukan Thailand bakal berdepan Jawatankuasa Tatatertib ISTAF berhubung insiden pasukan itu menarik diri.

Sekiranya didapati bersalah, antara hukuman yang berpotensi dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib ISTAF ialah penggantungan dan denda.