Skuad bolasepak kebangsaan Singapura baru-baru ini telah mengumumkan senarai 25 pemain yang akan membawa cabaran pasukan itu bagi menghadapi Guam dalam pusingan kelayakan pertama bagi Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 Arab Saudi.
Antara nama yang dipanggil jurulatih Singapura, Takayuki Nishigaya adalah penjaga gol veteran, Hassan Sunny, kapten pasukan, Hariss Harun dan penyerang muda berbisa, Ilhan Fandi.
Ilhan Fandi tidak beraksi selama sembilan bulan kerana koyak ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kirinya. Penyerang itu telah menjalani program pemulihan bersama kelabnya di Belgium, KMSK Deinze dan sudah bersedia untuk diturunkan jika segalanya dalam keadaan baik.
Sebahagian besar skuad yang dipanggil untuk jendela antarabangsa September telah dikekalkan. Pemain sayap muda, Farhan Zulkifli kembali ke skuad senior sejak memperoleh kaps pertama ketika menentang Malaysia dalam Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada awal tahun ini.
Empat nama besar yang tersisih daripada panggilan skuad kebangsaan Singapura adalah tiga pemain BG Pathum United iaitu Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ryhan Stewart manakala pemain Selangor FC, Safuwan Baharudin juga turut tidak dipanggil.
Ketiadaan tiga pemain BG Pathum itu difahamkan ekoran ketiga-tiga mereka sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang dialami. Manakala nama Safuwan terus tersisih walaupun mempamerkan aksi bertenaga bersama Selangor.
Singapura dijadualkan menentang Guam pada 12 Oktober di Stadium Bishan sebelum bertandang ke Guam pada 17 Oktober untuk aksi timbal balik.