Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim mengakui sokongan padu semua pihak mendorongnya untuk terus bergiat aktif dalam dunia bola sepak.
Susulan insiden serangan asid yang menimpa dirinya pada Mei lalu, pemain sayap berusia 27 tahun itu terpaksa melalui proses pemulihan yang mencabar.
Ini termasuk mengharungi empat siri pembedahan yang dibuat di sebuah hospital swasta di Lembah Klang. Selain itu, Faisal juga perlu membina semula kecergasan sebelum dapat kembali beraksi di padang.
Bekas pemain sayap Terengganu FC itu mengakui insiden tersebut pernah membuatkannya terfikir untuk menggantung but. Namun begitu, sokongan ramai pihak termasuk Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mendorong Faisal untuk terus cekal.
Dan ini membawa kepada penampilan pertamanya sebagai pemain simpanan Selangor dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024 baru-baru ini.
“Ya, pada mulanya saya memang ada niat untuk bersara. Tapi saya ingin berterima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor (RMS) (serta) Dato’ Seri Shahril Mokhtar.
“Semua (pihak) termasuk pengurusan, rakan-rakan saya, keluarga saya, isteri saya, bapa dan mak saya yang memberi saya semangat untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya dalam satu temu bual khas yang disiarkan Selangor FC.
Faisal mengakui beliau juga terharu dengan sokongan yang ditunjukkan rakyat Malaysia kepadanya semasa mengharungi proses pemulihan. Sokongan moral mereka membakar lagi semangatnya untuk kembali beraksi di padang.
“Apa yang saya boleh katakan semangat daripada rakan-rakan, semua rakyat Malaysia dan keluarga Merah Kuning, anda semua buatkan saya terharu. Kerana anda, saya akan teruskan berjuang demi bermain bola sepak,” tambahnya.
Selangor bangkit dengan merekodkan kemenangan agregat 6-4 ke atas Terengganu dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024. Keputusan itu sudah cukup buat Merah Kuning berentap dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di pentas final.