Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) bakal menaik taraf padang stadium tersebut dengan menggunakan rumput Bermuda.
Usaha ini direalisasikan apabila negeri Pahang telah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaik taraf saliran dan padang Stadium Darul Makmur.
Pahang menjadi sebahagian daripada lapan negeri yang menerima peruntukan penuh KBS untuk menaik taraf saliran dan padang stadium.
Selain Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka turut menerima peruntukan penuh.
Kos ini menjadi sebahagian daripada kos RM1.6 juta untuk proses menukar dan menaik taraf padang daripada jenis rumput lembu kepada Bermuda. Selain dana KBS berjumlah RM500,000, kerajaan negeri Pahang turut menyalurkan RM1.1 juta untuk usaha berkenaan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal memaklumkan rumput Bermuda dipilih kerana ia lebih baik daripada rumput lembu dari segi serapan air, lebih bersih dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Padang atau rumput di Stadium Darul Makmur akan dinaiktaraf pada pertengahan Ogos ini di mana rumput sedia ada sekarang iaitu cow grass akan diganti dengan rumput jenis Bermuda.
“Rumput jenis Bermuda ini akan lebih baik dari rumput cow grass terutama dari serapan air, lebih bersih, dan diikitiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dan pada September lalu, kerja-kerja pemindahan rumput lembu di Stadium Darul Makmur mula dilaksanakan untuk memberi laluan kepada penaiktarafan rumput Bermuda.
Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM), Izad Zainal Muhammad Saffian memaklumkan rumput lembu yang dipindahkan akan diberi kepada Kelab Golf Diraja Pahang secara percuma.
“Rumput Cow Grass diberikan secara percuma kepada Kelab Golf Diraja Pahang. Kita jangkakan kerja pemindahan rumput ini akan selesai minggu ini sebelum kerja naik taraf rumput baharu bermula minggu depan. Setakat ini, pelaksanaan kerja mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Kerja penukaran dan penaiktarafan rumput di Stadium Darul Makmur dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.
Disebabkan proses penaiktarafan Stadium Darul Makmur, pasukan Sri Pahang FC menggunakan Stadium Temerloh sebagai gelanggang alternatif untuk aksi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Apabila proses penaiktarafan padang ini siap, Pahang bakal menjadi negeri kedua yang menggunakan rumput Bermuda di stadium mereka selepas Terengganu.