Stadium Larkin Berwajah Baharu
MakanBola
Johor Southern Tigers

Stadium Larkin dilihat sudah bersedia menjadi gelanggang Johor Darul Ta’zim (JDT) II untuk saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/27.

Pengurusan JDT memuat naik siri foto wajah baharu stadium berkenaan selepas selesai menjalani proses penaiktarafan di semua platform rasmi pasukan itu.

Penaiktarafan Stadium Larkin antara penaiktarafan stadium yang diumumkan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selepas merasmikan projek pusat latihan baharu JDT pada Mei lalu.

Kini, wajah baharu Stadium Larkin menjadi bualan penyokong JDT dari padang stadium hinggalah bilik persalinan dan tempat duduk.

Meskipun berstatus stadium lama, Stadium Larkin bukan saja kelihatan cantik. Malah, stadium tersebut juga kelihatan moden dan selari dengan perubahan zaman.

Seorang pengguna Instagram bernama Amn4.___ mengakui kagum melihat wajah baharu Stadium Larkin. “Rindunya, selamat kembali ke Larkin. Stadium Larkin nampak macam baru saja buat stadium, padu,” katanya.

Hal ini turut dipersetujui seorang lagi penyokong bernama Azlan Blcklist. “Mantap, yang lama dijaga dan dibaik pulih sebaiknya dan kini jadi antara stadium yang baik,” katanya di Facebook.

JDT II bakal membuka kempen Liga A1 dengan menentang USM FC pada Jumaat. Stadium Larkin juga bersedia digunakan sebagai gelanggang alternatif Kuching City FC untuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).