Sri Pahang dilaporkan akan terus kekal beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sehingga akhir musim ini.
Venue ini telah dipilih sebagai gelanggang tuan rumah buat Sri Pahang beberapa minggu sebelum liga bermula bagi menggantikan Stadium Darul Makmur.
Ini selepas gelanggang keramat Tok Gajah itu akan menjalani proses naiktaraf dari segi sistem pengaliran dan rumput baharu yang bakal menjadikan stadium ini berwajah baharu.
Perkhabaran ini dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Dato’ Mohamed Suffian Awang berkenaan penetapan gelanggang tuan rumah rasmi bagi pasukan Tok Gajah sepanjang musim 2024/2025.
”Kita telah menetapkan bahawa Stadium Majlis Perbandaran Temerloh akan menjadi venue sepanjang musim kali ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi.
Sri Pahang telah merasmikan buat kali pertama Stadium MP Temerloh ini ketika aksi pra-musim menentang Terengganu minggu lalu yang menyaksikan pelawat mencatatkan kemenangan tipis 1-0.
Sabtu lalu, stadium ini juga telah menerima kunjungan Kelantan Darul Naim dan dengan sorakan padu para peminat Tok Gajah yang hadir, Sri Pahang berjaya meraih tiga mata berharga.
Gol tunggal daripada sepakan percuma pemain pinjaman JDT, Manuel Hidalgo memastikan Sri Pahang membuka tirai kempen Liga Super dengan langkah kanan di laman sendiri.
Aksi liga selepas ini menyaksikan skuad bimbingan Fandi Ahmad ini akan terbang ke Sarawak untuk berdepan saingan Kuching City di Stadium Negeri pada 19 Mei hadapan.