Sri Pahang bermula langkah kanan apabila berjaya menewaskan Kelantan Darul Naim dalam aksi pertama Liga Super 2024/2025 di Stadium Temerloh.
Skuad Tok Gajah menurunkan gandingan pertahanan ampuh yang dibarisi oleh Aleksandar Cvetkovic, Stefano Brundo, Azwan Aripin, Fadhli Shas dan Azrif Nasrulhaq manakala Zarif Irfan menjadi benteng terakhir pasukan.
Kelantan Darul Naim pula memberikan lilitan kapten kepada Oday Kharoub dan Valdumar menjadi tonggak serangan pasukan dalam membolosi gawang gol Pahang.
Kelantan sedikit bergelut pada awal permainan menyaksikan beberapa kali percubaan membina serangan tergendala apabila ditekan pemain Sri Pahang.
Kedua-dua pasukan gagal meraih sebarang gol pada aksi separuh masa pertama menyebabkan kedudukan terikat seri tanpa jaringan.
Bermula babak kedua, Sri Pahang menggandakan asakan dan saat yang ditunggu-tunggu peminat tiba pada minit ke-64 apabila Pahang diberikan sepakan percuma.
Pemain pinjaman dari JDT, Hidalgo berjaya menewaskan Khatul Anuar untuk memberikan gol pertama pasukan menerusi jaringan sepakan percuma.
Kelantan cuba mencari gol penyamaan tetapi tiada satu percubaan berjaya menggegar gawang gol Sri Pahang.
Sean Selvaraj memiliki peluang keemasan untuk menambah gol kedua pasukan tetapi aksi pantas Khatul Anuar berjaya menghalang percubaan tersebut.
Sri Pahang meraih kemenangan pertama dengan jaringan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim dan 3 mata berharga sah menjadi milik Sri Pahang.
Sri Pahang seterusnya akan menentang Kuching City manakala Kelantan Darul Naim akan melawan Sabah dalam aksi kedua Liga Super 2024/2025.