Kelab Johor Darul Ta’zim secara rasminya berpindah ke rumah barunya Stadium Sultan Ibrahim selepas majlis perasmian diadakan malam ini.
Stadium yang menelan belanja sebanyak RM200 juta ini dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Tunku Ismail menjelaskan kepada media bahawa acara perasmian ini merupakan salah satu sejarah gemilang Johor Darul Ta’zim.
“7 tahun terakhir ini kelab berada dalam kondisi yang hebat dalam dan luar padang. Majlis perasmian stadium bermakna salah satu perancangan kelab telah selesai.”
Baca Juga: JDT Dinobat AFC Club of The Year oleh AFC
“Hari ini kami mengatasi norma bola sepak Malaysia dan kami secara konsisten mencipta tanda aras baru yang pastinya akan menaikkan ‘standard’ dan mencabar di kejohanan antarabangsa,” jelas Tunku Ismail.
Pembukaan stadium ini juga diserikan dengan kehadiran artis antarabangsa, Leona Lewis dan dua artis kelahiran Johor, Ayai dan Akim. Hampir 40,000 penonton hadir ke majlis pembukaan ini yang turut memaparkan VR harimau semasa persembahan berlangsung.
Stadium Sultan Ibrahim yang mampu memuatkan hampir 40,000 penonton ini merupakan satu-satunya stadium di Malaysia yang menggunakan rumput Zeon Zoysia.
Baca Juga: Satu Kebanggaan Diundang Ke JDT – Madura United
Selain itu, Stadium Sultan Ibrahim juga mempunyai sistem saliran air 9 peringkat menyamai teknologi seperti stadium-stadium moden di eropah.
Perlawanan kompetitif pertama di Stadium Sultan Ibrahim bakal menemukan Johor Darul Ta’zim dengan pasukan Kedah pada 28 Februari 2020 bagi merebut kejuaraan Piala Sumbangsih 2020.