Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjawab mengenai masa depannya bersama badan pengelola liga tersebut.
Umum mengetahui bahawa berita mengenai pengunduran diri beliau mula tular dalam kalangan peminat di laman sosial sejak kebelakangan ini.
Beliau dalam satu kenyataan kepada MFL sendiri memaklumkan mengenai kedudukannya selaku CEO MFL ketika ini.
“Ramai yang menghubungi saya mengenai khabar angin mengenai kedudukan saya baru-baru ini.
Stuart bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau kekal komited menjalankan tugas bersama MFL ketika ini dengan perbincangan mengenai kontraknya sedang berlangsung.
“Apa yang boleh saya katakan buat masa ini ialah saya komited kepada MFL dan perbincangan sedang berjalan berkaitan kontrak saya yang berakhir pada bulan Ogos.
“Sila ambil perhatian bahawa sebarang perkara rasmi mengenai perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan buat masa ini saya masih komited dengan peranan saya,” jelasnya seperti yang dimaklumkan oleh MFL.
Beliau juga mengucapkan terima kasih atas mesej dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua pihak yang mahu melihat arena bola sepak negara terus berkembang maju.
Stuart Ramalingam mula memainkan peranan selaku CEO MFL pada Ogos 2021 selepas peletakan jawatan Datuk Hamidin Mohd Amin.