Ramai penyokong mengakui barisan Harimau Malaya kali ini sebagai antara yang terbaik dalam era Kim Pan-gon. Bagi pemain tengah Sabah, Stuart Wilkin, ini bermakna dia perlu berusaha keras untuk merebut slot kesebelasan utama di bahagian tengah.
Ini kerana terdapat ramai pemain berkaliber yang berupaya menggalas tanggungjawab sebagai jeneral tengah. Antara pemain yang dipanggil Pan-gon kali ini ialah Paulo Josue, Brendan Gan, Syamer Kutty Abba, Endrick dos Santos, Nor Azam Azih dan Nooa Laine.
Justeru, Stuart perlu bekerja keras dalam setiap sesi latihan bagi membolehkan dirinya terpilih ke kesebelasan utama. Dengan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Turkmenistan, perlawanan menentang Hong Kong dilihat peluang terakhir untuk menambah lapan penampilan antarabangsanya.
“Terdapat persaingan sengit dalam skuad kebangsaan. Terdapat ramai pemain yang bagus di sini, terdapat ramai pemain yang bagus dari seluruh negara sekarang ini.
“Jadi, itu memberi keyakinan kepada saya untuk meraih kepercayaannya (Pan-gon) sekali lagi dan membuatkannya bangga. Dan ya, bila saya bandingkan, saya akan memberi yang terbaik dan menunggu peluang muncul,” katanya kepada media selepas sesi latihan semalam.
Di sebalik persaingan sengit merebut kesebelasan utama, persiapan Harimau Malaya untuk perlawanan menentang Hong Kong malam ini berjalan lancar. Dan Stuart percaya ini dapat membantu skuad kebangsaan mencipta kemenangan ke atas lawan mereka itu.
“Persiapannya bagus, semua orang bekerja keras dalam sesi latihan. Itulah cara kita bersedia dalam setiap perlawanan, semua orang kelihatan fokus dan tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan tersebut.
“Seperti biasa, kita akan mengharungi perlawanan dengan yakin dan berharap dapat meraih satu lagi kemenangan,” tambahnya.