Dua wakil Afrika Utara, Mesir dan Maghribi mencipta kejutan dengan mara ke separuh akhir Sukan Olimpik 2024.
Sebelum ini, Singa Atlas dan The Pharoahs mencipta sensasi dengan masing-masing bergelar juara Kumpulan B dan C. Kedua-dua pasukan turut mencipta kejutan dengan menundukkan Argentina dan Sepanyol.
Momentum ini kemudiannya diteruskan kedua-dua pasukan di peringkat suku akhir. Maghribi meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas Amerika Syarikat.
Penjaring terbanyak Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24, Soufiane Rahimi membuka tirai jaringan buat Singa Atlas. Ilias Akhomach, Achraf Hakimi dan El Mahdi Maouhoub turut mencipta nama sebagai penjaring.
Sementara Mesir pula memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menyingkirkan Paraguay di peringkat suku akhir. Diego Gomez meletakkan La Albirroja di hadapan pada minit ke-71.
Ibrahim Adel sekali lagi muncul wira buat The Pharoahs dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-88. Hamza Alaa kemudiannya membantu Mesir ke separuh akhir dengan menafikan penalti Marcelo Perez.
Kini, dua wakil Afrika Utara itu berpeluang melakar lagi kejutan untuk mara ke pentas final Olimpik 2024. Maghribi perlu berdepan Sepanyol dengan Perancis menjadi penghalang buat Mesir.
Kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung pada 5 Ogos ini.