Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abdul Halim mengumumkan sejumlah RM7.4 juta telah pun diperuntukkan khusus buat sukan permotoran di negara pada tahun ini.
Menurut Adam Adli, pihak kerajaan telah memperuntukkan dana ini khas buat pembangunan sukan permotoran dengan pelbagai program untuk dianjurkan meliputi semua peringkat.
“Peruntukan ini digunakan untuk melaksanakan program-program pemerkasaan, termasuk penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan,” ujar beliau.
“Contohnya seperti minibike dan pushbike, serta latihan kemahiran asas dalam sukan go-kart, rally, drift, cub prix, pocket bike, dan motocross.”
Selain itu, peruntukan besar ini juga merangkumi bengkel dan kursus yang dijalankan melibatkan aspek keselamatan pihak yang terbabit dalam sukan permotoran ini.
“Selain itu, turut dilaksanakan adalah Bengkel Pemurnian Modul Disiplin Sukan Enduro, Kursus Marshal, dan Kursus Pemanduan Selamat,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Pihak kementerian juga telah memperuntukkan sebanyak RM400,000 kepada pihak Majlis Sukan Negeri Perlis bagi menaik taraf Litar Motorcross di Sungai Batu Pahat, Kangar.