Sebelum perlawanan Kumpulan B Malaysia-Thailand, jurulatih Thailand Issara Sritaro pastinya memandang sinis komen jurulatih Myanmar, Michael Feichtenbeiner berkenaan skuad B-22 negara. Tetapi anak-anak buah E. Elavarasan membuktikan mereka bukan lawan mudah dengan memaksa Gajah Perang bekerja keras sebelum tewas 2-0 di Stadium Visakha, Phnom Penh.
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan kedua dalam Kumpulan B dengan mengambil kira Vietnam sebagai pesaing utama mereka. Justeru, sebaik sepak mula, Harimau Muda dan Gajah Perang saling mengasak bagi memburu gol pendahuluan.
Penyerang KL City, T. Saravanan hampir mengejutkan penjaga gol Thailand, Soponwit Rakyart dengan satu sepakan lencong pada minit keenam. Bagaimanapun, penjaga gol Phrae United itu bernasib baik bola hanya terkena palang gol sebelum terkeluar.
Anak-anak buah Issara mendapat deretan peluang untuk membolosi gawang yang dikawal Sikh Izhan Nazrel tetapi gagal. Percubaan mereka yang paling signifikan ialah percubaan Bukkoree Lemdee pada minit ke-42 tetapi bola muntah yang terlepas dari dakapan Sikh Izhan berjaya dikeluarkan Ubaidullah Shamsul.
Dengan keputusan 0-0 pada rehat separuh masa, Elavarasan memasukkan Najmuddin Akmal dan Haqimi Azim bagi membantu Fergus Tierney di bahagian serangan. Dan ini hampir-hampir membawa kepada gol pembukaan Harimau Muda pada minit ke-46 tetapi percubaan kaki kiri Tierney tersasar.
Benteng pertahanan Gajah Perang terus cemas apabila Najmuddin hampir menyempurnakan hantaran Aliff Izwan pada minit ke-68 tetapi berjaya disekat Soponwit. Tetapi empat minit selepas itu, Anan Yodsangwal berjaya menewaskan Sikh Izhan untuk gol pertama Thailand.
Tersentak, skuad B-22 negara cuba bangkit. Tetapi pemain gantian Yotsakorn Burapha memastikan kemenangan Gajah Perang dengan gol kedua pada minit ke-83.
Kemenangan ini membolehkan Thailand melonjak ke tangga kedua Kumpulan B dengan Malaysia turun ke tangga ketiga. Dua kemenangan ini sedikit sebanyak membantu Gajah Perang ke separuh akhir lebih-lebih lagi mereka bakal berdepan Vietnam pada perlawanan terakhir kumpulan pada 11 Mei.
Bagi anak-anak buah Elavarasan pula, mereka perlu bangkit menewaskan Vietnam pada perlawanan seterusnya pada 8 Mei. Dengan anak-anak buah Philippe Troussier pastinya mahu mengekalkan rekod 100% mereka, Harimau Muda perlu berjuang habis-habisan untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir Sukan SEA 2023.