Skuad futsal Sarawak menempah tiket final acara futsal SUKMA 2024 apabila menewaskan pasukan utara tanah air, Perak di peringkat separuh akhir.
Selepas berjaya mengalahkan pemenang pingat emas yang lalu, Terengganu di peringkat suku akhir, Perak semakin bersemangat memburu tiket final. Manakala Sarawak juga mengidam perkara sama sebagai tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah yang dibimbing Mohamad Ali Mahat terlebih dahulu di hadapan menerusi Asyraf Zakaris pada minit ketiga. Perak semakin ketinggalan apabila Asyraf menggandakan kelebihan Sarawak seminit selepas itu.
Abdul Hadi Muhamad Azhan merapatkan jurang buat Perak menerusi gol pada minit keempat. Kelegaan Perak tidak bertahan lama apabila Mohammad Nazir Mahdini mengembalikan kelebihan dua gol Sarawak pada minit ke-10.
Perak terus mengasak untuk terus menyalakan impian mara ke final. Hasilnya, mereka menjadikan kedudukan 3-2 menerusi Amirul Aiman Hamdan pada minit ke-12.
Kapten Perak, Matias Danisan memastikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-13.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari kelebihan gol untuk mara ke final.
Sorakan penyokong tuan rumah bergema di Stadium Tertutup Samarahan apabila pemain Perak, Danish Syaufi Firhan Ramlie menjaringkan gol sendiri pada minit ke-30.
Shahmi Suhardi terus menceriakan penyokong Sarawak dengan meledakkan gol kelima pada minit ke-38. Nazwan Airil Haykal memastikan slot final milik tuan rumah dengan meledakkan gol keenam seminit selepas itu.
Sarawak bakal menanti sama ada Selangor atau Pulau Pinang sebagai lawan mereka di peringkat akhir.