KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diterajui generasi muda.
Kenyataan ringkas tetapi tegas itu dizahirkan baginda apabila ditanya sama ada berminat untuk kembali memimpin badan induk bola sepak negara itu atau tidak.
Sebelum ini, beberapa figura seperti bekas Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menyarankan Al-Sultan Abdullah untuk kembali memimpin FAM.
Ini kerana pada hemat Saifuddin, baginda bukan saja sedia mendengar pandangan semua pihak. Malah, Al-Sultan Abdullah juga sentiasa mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM semasa beliau memikul tugas berkenaan.
Meskipun begitu, Al-Sultan Abdullah dilihat bukan saja tidak berminat untuk kembali merebut jawatan berkenaan. Malah, baginda ingin melihat generasi muda diberi peluang menerajui FAM.
“Bagi orang muda (pimpin FAM),” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Al-Sultan Abdullah menjadi figura terbaru menolak merebut jawatan tersebut selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman.
Baginda berkata demikian selepas mencemar duli menghadiri Kejohanan Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan.