Ketajaman penyudah merupakan aset terpenting untuk seorang penyerang. Di kala kebanyakan pasukan mempertaruhkan penyerang import bagi menjaringkan gol namun ianya berbeza buat pasukan Buriram United yang bersaing di Liga 1 Thailand.
Dalam saingan liga, Buriram kerap kali mempertaruhkan penyerang kebangsaan Thailand, Supachai Jaided untuk digandingkan bersama penyerang import dari Guinea, Lonsana Doumbouya di bahagian hadapan.
Ternyata strategi Buriram meletakkan Supachai membuahkan hasil apabila penyerang berusia 24 tahun itu kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga 1 Thailand dengan keseluruhan 13 gol yang berjaya dihasilkan. Statistik tersebut telah dikongsikan oleh Thai League Central di laman twitter mereka.
Namun kedudukan Supacahai sebagai pendahulu masih belum selamat apabila diikuti rapat penyerang Chonburi, Danilo Alves yang mencatatkan 12 jaringan dan penyerang Port FC, Hamilton Soares yang meledak 11 gol setakat ini.
Selain mempunyai penyerang berbisa seperti Supachai, Buriram juga mempertaruhkan pemain muda lincah, Suphanat Mueanta yang mempunyai visi yang tinggi apabila beraksi. Suphanat kini mendahului senarai bantuan gol dengan mencatatkan 8 bantuan gol setakat ini.
Keberanian Buriram meletakkan penyerang tempatan dalam kesebelasan utama wajar diberikan pujian di kala banyak pasukan yang meletakkan penyerang import selain ianya dapat membantu pasukan kebangsaan Thailand pada perlawanan antarabangsa.