Suphanat Mueanta Bakal Jalani Latihan Pra-Musim Di Eropah

Twitter @ta lao19 Suphanat Mueanta Bakal Jalani Latihan Pra-Musim Di Eropah
@tal_lao19
Azim Noor @mohdazim45
5:02pm 04/03/2023

Nama Suphanat Mueanta semakin menjadi bualan terutama selepas membantu Buriram mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Thai League 1. Justeru, tidak hairanlah sebaik saja musim ini berakhir, Suphanat bakal menjalani pra-musim di Eropah.

Hal ini didedahkan oleh jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Thailand, Issara Sritaro apabila ditanya skuad bayangan yang bakal bertolak ke Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei ini.

“Dalam kes Suphanat Mueanta, saya ada mengadakan beberapa perbincangan dan diberitahu bahawa dia tidak akan dapat menyertai skuad Sukan SEA 2023 kita. Saya diberitahu dia bakal menjalani pra-musim di Eropah selepas musim Thai League 1 berakhir,” katanya bila dihubungi portal Main Stand.

Sebelum ini, Presiden Buriram United, Newin Chidchob mendakwa Suphanat berpotensi menjadi pemain bola sepak Thailand pertama beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL). Walaupun buat masa ini. impian tersebut hanya sekadar impian, pemain berusia 20 tahun itu setapak lebih hampir merealisasikan hasrat bosnya.

Ini kerana dengan beraksi di Eropah, ia merealisasikan impiannya beraksi secara profesional di sana. Satu persoalan yang bermain dalam fikiran para penyokong Thailand ialah kelab mana menjadi lokasi pra-musimnya.

Satu pilihan logik ialah kelab Liga Pro Belgium, Oud-Heverlee Leuven. Ini kerana OHL berkongsi pemilik sama dengan kelab EPL, Leicester City iaitu Aiyawatt Srivaddhanaprabha.

Malah, Leicester juga merupakan tempat Suphanat menjalani latihan bersama pasukan Foxes sebelum kembali menyertai Thunder Castle apabila saingan liga kembali bersambung.

Selepas mendengar laporan Suphanat mempamerkan peningkatan selepas berlatih bersama Foxes, tidak mustahil Aiyawatt melihat pemain muda itu sebagai aset jangka panjang yang dapat membantu OHL dan seterusnya, Leicester.