Surat penyerang Terengganu FC dari Curacao, Gervane Kastaneer membuatkan beliau tersentuh baru-baru ini.
Video penyerang berusia 30 tahun itu membaca surat bapanya dikongsikan akaun media sosial rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sempena Piala Dunia 2026.
Bapa Kastaneer berkongsi kisah pahit manis, pengorbanan dan perjuangan beliau yang membentuk karier bola sepaknya hari ini.
Antara kisah yang menyentuh hati bekas penyerang Persib Bandung itu ialah kisah kecederaan mata yang dialami pada 2017. Pada ketika itu, kariernya semakin menampakkan kemajuan dan beliau dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab terkemuka.
“Orang hanya melihat kecederaan mata tetapi kita tahu realiti kisah di sebaliknya,” tulisnya. Bapa Kastaneer mendedahkan keluarga terutama dirinya memberi sokongan penuh kepada pemain Coventry City itu untuk pulih sepenuhnya.
Selepas selesai membaca surat berkenaan, Kastaneer menitiskan air mata sebelum menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat bapa tercinta.
“Ayah, anda tahu saya bukan orang yang banyak bercakap tetapi andalah segala-galanya. Kita berjaya. Bukan saja saya tetapi anda juga,” katanya.
Sebaik video itu disiarkan di semua platform rasmi FIFA, ramai rakan pemain memberi komen positif terhadap kisah Kastaneer. Antaranya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Hevel dan rakan-rakan senegara, Kenji Gorre dan Tahith Chong.
Hevel dan Kastaneer cukup mengenali antara satu sama lain. Ini kerana kedua-duanya pernah beraksi bersama ketika mewakili kelab Belanda, ADO Den Haag.

Malah, kisah penyerang Peteh itu turut mencuri perhatian kapten Perancis, Kylian Mbappe. Ini selepas penyerang Real Madrid itu meninggalkan komen positif di ruang komen Instagram.
Kastaneer antara tiga pemain Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuat penampilan di Piala Dunia 2026.