Pemain tengah Penang FC, Syamer Kutty tidak mahu lagi terlepas daripada panggilan ke skuad kebangsaan.
Bagi Syamer, panggilan ke skuad kebangsaan merupakan satu penghargaan. Dengan minit permainan yang tinggi, Syamer yakin ianya akan menambahkan lagi tahap permainan beliau di atas padang.
“Sudah pasti ianya satu penghargaan bila dapat panggilan negara. Sekarang saya dapat banyak minit permainan. Benda itu bagus untuk saya punya permainan.
“Saya tengok, saya ada peningkatan dari perlawanan ke perlawanan. Saya harap jurulatih skuad kebangsaan dapat berikan saya peluang berada di pemilihan nanti,” jelas Syamer seperti yang dikongsikan laman Youtube MakanBola.
Sehingga kini, Syamer hanya terlepas satu perlawanan buat Penang bagi saingan Liga Malaysia musim ini. Bukan sahaja itu, beliau juga tidak pernah dikeluarkan oleh pengendali Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli ketika sedang beraksi di atas padang.
Pemain yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kini sudah beraksi dalam 7 perlawanan buat Penang dan aksinya di tengah padang sememangnya tidak pernah mengecewakan buat penyokong tegar Penang.