Skuad wanita Bawah 17 Tahun (B-17) kebangsaan kini mendapat sentuhan baharu selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Takayoshi Ishihara sebagai Ketua Jurulatih pasukan berkenaan.
Ishihara atau lebih dikenali sebagai Taka hadir dengan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, pembangunan pemain, pembentukan pasukan serta kepimpinan.
Jurulatih berusia 49 tahun dari Jepun itu turut memiliki pengalaman membimbing kelab di beberapa negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.
Antara pencapaian terbesar dalam kariernya hadir ketika membimbing INAC Kobe Leonessa pada 2013 apabila beliau berjaya membawa kelab tersebut menjuarai empat kejohanan utama dalam satu musim.
Di bawah kendalian Takayoshi Ishihara, INAC Kobe Leonessa muncul juara Nadeshiko League, Nadeshiko League Cup, International Women’s Club Championship dan Empress’s Cup.
Dalam usaha memperkukuhkan barisan kejurulatihan skuad wanita B-17, Ishihara akan dibantu oleh dua jurulatih berpengalaman dari Jepun iaitu Ito Mizuki dan Mayu Hinada.
Ito dilantik sebagai Penolong Ketua Jurulatih dan turut menggalas tugas sebagai jurulatih penjaga gol, manakala Hinada diberikan tanggungjawab sebagai jurulatih kecergasan.
Ito sebelum ini pernah menabur bakti bersama beberapa kelab di Jepun, Australia dan Singapura termasuk Osaka City FC, Sydney FC dan Albirex Niigata Singapore.
Pelantikan ketiga-tiga jurulatih tersebut dilihat sebagai langkah FAM untuk memperkukuhkan pembangunan bola sepak wanita negara menerusi barisan kejurulatihan yang mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam membangunkan pemain muda.
FAM berharap kepakaran yang dimiliki Ishihara, Ito dan Hinada mampu membantu membentuk skuad wanita B-17 secara lebih sistematik, profesional dan kompetitif bagi menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa.