Takayoshi Ishihara Sasar Bawa Malaysia Ke Piala Asia Wanita B-17
MakanBola
Malaysia National Team

Jurulatih skuad wanita Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17), Takayoshi Ishihara berhasrat membawa skuad negara layak ke Piala Asia Wanita B-17 2027.

Hasrat itu dizahirkan jurulatih Jepun itu apabila ditanya tentang sasaran Malayan Tigress B-17 bila mengharungi pusingan kelayakan kejohanan itu.

Meskipun sedar lawan Kumpulan E iaitu Syria, Iraq dan India pasukan yang bagus, Ishihara tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk memburu tiket kelayakan.

“Baik, Syria, Iraq dan India ialah pasukan-pasukan yang bagus. Kita menghormati setiap lawan. Sudah tentu kita menganalisis setiap pasukan dan bersiap sedia untuk mereka tetapi kita juga kena fokus pada diri sendiri.

“Pemain-pemain kita memiliki kualiti-kualiti individu yang bagus. Tugas saya ialah membantu mereka menunjukkan kualiti-kualiti ini sebagai satu pasukan.

“Kita hormat lawan-lawan kita tetapi kita juga yakin dengan kemampuan kita,” katanya seperti dilaporkan BolaKita.

Ishihara yang baru memikul tugas sebagai pengendali Malayan Tigress B-17 mengakui anak buahnya memiliki potensi besar dan sentiasa menunjukkan peningkatan.

“Sebelum datang ke sini, saya menonton semua pemain di video. Tetapi selepas berlatih dengan mereka, saya fikir mereka memiliki lebih banyak potensi daripada saya jangkakan.

“Mereka menunjukkan peningkatan setiap hari. Mereka bersikap positif dan menunjukkan sikap yang baik dalam latihan,” tambahnya.

Malaysia akan membuka kempen kelayakan Kumpulan E dengan menentang Syria pada 5 Oktober ini.