Tan Cheng Hoe: Keseimbangan Skuad Selangor Musim Ini Lebih Mantap

tan cheng hoe 16 Tan Cheng Hoe: Keseimbangan Skuad Selangor Musim Ini Lebih Mantap
Azri Haziq / MakanBola
Azim Noor @mohdazim45
4:55pm 19/04/2023

Kemenangan 5-1 Selangor ke atas Terengganu semalam bukan sekadar mengukuhkan kedudukan Merah Kuning di tangga kedua liga. Malah, ini menunjukkan keseimbangan skuad yang dibimbing Tan Cheng Hoe untuk musim ini lebih mantap.

Di setiap posisi pasukan, setiap pemain bersaing hebat merebut slot kesebelasan utama. Ia bukan sekadar memberi ‘squad depth’ kepada Cheng Hoe dalam mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang panjang.

Malah, ia menunjukkan sesiapa saja yang diturunkan beliau dalam kesebelasan utama mampu memberi persembahan yang terbaik dan membantu Selangor meraih tiga mata.

“Ya, kalau kita lihat skuad pada musim ini agak seimbang dari bahagian penjaga gol, pertahanan, tengah dan penyerang kita. Itu sebab saya kata salah satu daripada strategi kita ialah setiap pemain perlu memberi persembahan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Mereka perlu mengagumkan barisan jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama. Itulah satu saingan yang cukup sihat untuk pasukan dan diharap pada masa akan datang, kita dapat kekalkan momentum tersebut dan keyakinan dalam perlawanan akan datang,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.

Disebabkan ‘squad depth’ yang seimbang dan mantap, Cheng Hoe berupaya menurunkan kombinasi pemain berbeza dalam setiap perlawanan. Ini turut menjelaskan keupayaan Gergasi Merah meraih tujuh kemenangan dalam sembilan perlawanan liga musim ini.

Kemenangan semalam memastikan Selangor menduduki tangga kedua Liga Super dengan 22 mata, tiga mata di hadapan Sri Pahang yang menduduki tangga ketiga. Merah Kuning selepas ini akan menentang Sabah pada 27 April ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu.