Tan Cheng Hoe Waspada Ancaman Myanmar
MakanBola
Malaysia NT

Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe mengakui Malaysia perlu bijak mengatasi taktikal Myanmar jika mahu membuka kempen Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup dengan kemenangan.

Selepas bekas jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen mengambil alih sebagai jurulatih, Myanmar dilihat bukan saja mampu memberi tekanan tinggi kepada pihak lawan.

Malah, pasukan itu juga mampu melancarkan serangan balas pantas bila mendapat bola. Aspek ini disedari Cheng Hoe terutama selepas melihat anak buah Andersen turun menentang Vietnam dalam aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Walaupun Myanmar tumbang 4-0, bekas jurulatih Police Tero itu tidak melihat itu sebagai alasan buat Malaysia merasa selesa. Justeru, Cheng Hoe mahu anak buahnya tampil mantap di Stadium Thuwunna untuk meraih tiga mata penuh.

“Sudah tentu, kami perlu fokus kepada cara kami bermain. Kami tidak boleh kerap kehilangan bola kerana kami tahu pencetus (serangan) pasukan Myanmar (bermula) daripada serangan balas mereka. Jadi, kami perlu bersedia bila turun menentang Myanmar.

“Kami menonton perlawanan Vietnam. Kami melihat kualiti pasukan Myanmar. Mereka bermain dengan intensiti yang baik, kerja berpasukan yang baik, semangat juang yang baik dan memberi tekanan tinggi,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Cheng Hoe sedar Myanmar bukan saja mahu memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri. Malah, mereka juga mahu menghadiahkan kemenangan pertama buat Andersen sebagai jurulatih baharu mereka.

Meskipun itu, Cheng Hoe tidak melihat itu sebagai halangan buat Harimau Malaya untuk tampil cemerlang di Stadium Thuwunna.

“Saya fikir kita mempunyai pemain yang mampu menyerap tekanan dan cara permainan Myanmar. Saya pasti pemain kita bermotivasi untuk bermain menentang Myanmar.

“Mungkin di hadapan stadium yang penuh, kita akan (dapat) menyerap semua tekanan daripada Myanmar,” tambahnya.

Malaysia akan turun menentang Myanmar dalam aksi pertama Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup pada 25 Julai ini.