Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin memohon maaf kepada ahli-ahli gabungan kerana memilih tidak bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Meskipun menghargai sokongan sebahagian besar ahli gabungan menerusi bilangan pencalonan yang diterima untuk jawatan tersebut, Hamidin memilih untuk tidak bertanding.
Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu berpandangan ini langkah terbaik bagi membuka era kepimpinan baharu FAM.
“Saya amat menghargai sokongan yang diberikan. Bagi saya, ia satu amanah dan kepercayaan besar daripada keluarga bola sepak Malaysia yang sentiasa saya junjung,” katanya dalam satu kenyataan.
“Namun, setelah mempertimbangkan kepentingan FAM dan masa depan bola sepak negara secara menyeluruh, saya percaya langkah ini membuka ruang terbaik untuk FAM melangkah ke era baharu, sekali gus memastikan organisasi yang kita cintai ini kekal fokus dan terus bergerak ke hadapan.
“Saya tidak mahu sesi pemilihan ini menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan FAM atau menjejaskan usaha FAM untuk melaksanakan agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara. Sebaliknya, saya mahu melihat FAM terus kukuh, bersatu dan mendapat kembali keyakinan seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong dan peminat bola sepak.”
Hamidin yang juga Presiden Kehormat FAM turut berharap proses pemilihan FAM berjalan lancar. Hal ini membolehkan ahli-ahli gabungan dapat memilih barisan kepimpinan badan induk itu untuk membina masa depan bola sepak Malaysia yang lebih baik.
“Apa yang lebih penting bagi saya sekarang adalah memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan baik dan kepimpinan seterusnya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina masa depan bola sepak negara,” ujarnya.
Jawatan Presiden FAM menjadi tumpuan apabila Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan bakal dicabar Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.