Taufiq Johari: FAM Sabar Dulu
MakanBola
Parlimen Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ingin melihat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) stabil terlebih dahulu sebelum menyalurkan dana untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Pandangan ini dibuat beliau apabila ditanya tentang isu dana yang diterima badan induk itu dalam menguruskan NFDP.

Taufiq memaklumkan kestabilan FAM harus menjadi keutamaan terlebih dahulu. Ini kerana badan induk itu masih dibelenggu isu tujuh pemain warisan negara dengan rayuan telah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Selain menunggu keputusan rayuan CAS pada 26 Februari, FAM ketika ini tidak memiliki nakhoda.

Ini selepas barisan kepimpinan badan induk itu meletak jawatan secara kolektif pada Januari lalu bagi membolehkan reformasi dalaman dapat dilancarkan.

“Jadi, kita tangguh dulu (penyaluran dana) buat masa ini. Cuma dari segi latihan dan seumpamanya, itu masih lagi secara bersama.

“Dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan memantau rapat berkenaan isu tersebut sehinggalah keputusan CAS itu keluar. Kemudian kita akan baru lihat penyaluran dana dan seumpamanya,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena.

Taufiq berkata demikian selepas Majlis Prapeluncuran Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan baru-baru ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan.

Claim Money Packet TnG